Cerpen : Kisah Sedihku
Kisah ini berlaku 4 tahun yang lepas, bapa saudara ku iaitu arwah Pak Itam yang digelar sebagai Ayah. Aku mulakan dengan kisah seorang insan yang istimewa buatku.
Keluarga dia telah menjaga aku sejak dari kecil sehingga aku sekolah rendah. Kiranya aku memang rapat dengan keluarga mereka, terutamanya ayah aku. Dialah tempat aku bermanja sejak aku kecil sehingga dewasa. Aku masih ingat sewaktu aku merengek meminta sesuatu, dia pasti akan tunaikan walaupun tidak sihat, bila anak bongsunya sering membuliku, dialah tempat aku meminta pertolongan, bila aku perlukan belaian, dialah tempat aku bermanja.
Kisah sedihku bermula di sini, 4 tahun sebelum kematian ayah, dia telah menghidap penyakit kencing manis. Dia sering membuat hemodialisis kerana buah pinggang dia telah rosak. Lama - kelamaan kaki dia semakin bengkak dan terpaksa ditebuk untuk membuat tapak di leher bagi mudah untuk membuat rawatan hemodialisis. Malah, dalam beberapa bulan doktor mengarahkan pula untuk membuat tapak ditangan bagi memudahkan lagi untuk membuat rawatan hemodialisis. Tapak dileher telah ditutup.
Selepas 2 tahun, ibu jari kaki ayah luka serta menyebabkan kaki dia semakin bengkak dan terasa bisa. Doktor sarankan ibu jari kaki dia dipotong kerana terlalu bisa. Selepas buang ibu jari, ayah terpaksa buang jari seterusnya kerana telah dijangkiti dan terasa bisa.
Selepas 2 bulan, bisa itu datang semula. Doktor juga sarankan ayah untuk potong kaki dia sehingga bawah lutut. Ayah juga kembali sihat serta mendapat bantuan kaki palsu.
Sebelum kematian ayah, ayah jatuh dari bilik air sehingga menyebabkan dia koma. Ayah mampu bertahan melalui bantuan pernafasan. Aku hanya boleh melawat dia sekali sahaja kerana keluargaku sibuk. Semasa melawat hanya dua orang sahaja dibenarkan masuk.
Aku masuk ke dalam dan hanya melihat ayah ku yang terbujur kaku dengan bantuan pernafasan dia. Tiada senyuman, tiada belaian dan tiada sebarang kata – kata yang keluar dari bibirnya lagi. Waktu itu hanya Allah yang tahu perasaan aku. Aku kuatkan hati untuk melihat dan berbisik di telinga ayah yang aku terlalu rindukan dia. Pada saat itu, hanya air mata dia sahaja yang mengalir.
Genap 10 hari ayah dekat hospital, dia telah pergi meniggalkan kami semua buat selamanya. Sebelum ayah meninggal, aku mengajak keluargaku untuk menziarah ayah buat kali terakhir tetapi tidak kesampaian kerana keluargaku sibuk.
Pada hari terakhir aku menduduki kertas percubaan PMR, keluarga ku hadir ke sekolah secara mengejut untuk memberitahu yang ayah telah meninggal dunia. Waktu itu aku terkaku dan tidak dapat melengkapkan kertas peperiksaan yang terakhir. Dalam perjalanan ke rumah ayah, aku risau tidak dapat sempat melihat wajah ayah buat kali terakhir.
Bila tiba di rumah ayah, terdapat ramai tetamu yang mengenali ayah hadir ke rumah dan menyebabkan aku rasa semakin sebak kerana jenazah ayah sudah siap dikafankan. Sepanjang perjalanan ke kubur, air mataku tidak berhenti mengalir. Anak kepada ayah meminta orang untuk membuka kain tersebut untuk bagi aku melihat wajahnya buat kali terakhir. Aku kuatkan hati untuk melihat wajahnya tanpa menitiskan setitis air mata. Tapi akhirnya mengalir juga air mataku. Aku tidak mampu untuk melihat terlalu lama kerana aku terlalu rindukan ayah. Pada waktu itu, aku hanya mampu mengirimkan doa dan menghadiakan surah Yassin untuk ayah.